KPDN Kelantan sita kopi pracampuran tiruan

KPDN Kelantan menyita 7,900 peket kopi pracampuran pelbagai jenama dipercayai tiruan dalam dua serbuan bersaingan di Pasir Puteh dan Bachok pada Sabtu.
KPDN Kelantan menyita 7,900 peket kopi pracampuran pelbagai jenama dipercayai tiruan dalam dua serbuan bersaingan di Pasir Puteh dan Bachok pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita 7,900 peket kopi pracampuran pelbagai jenama dipercayai tiruan dalam dua serbuan bersaingan di Pasir Puteh dan Bachok pada Sabtu.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, turut disita mesin pembungkusan produk minuman tersebut, set komputer dan sebuah kenderaan Toyota Hiace di sebuah kilang pemprosesan di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini.

"Sitaan tersebut adalah hasil operasi bersepadu yang dilakukan selama dua hari berturut-turut bersama wakil pemilik Cap Dagang.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat minuman kopi pracampuran pelbagai jenama terkenal disyaki pelanggaran menggunakan cap dagangan berdaftar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, lima tindakan kes dihasilkan iaitu melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 102 (1)(c) dan 100(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019.

Ujarnya, kes tersebut juga disiasat bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM103,938.

Azman menegaskan, KPDN memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga melakukan kesalahan ini, seterusnya akan berhadapan dengan tindakan denda yang tinggi serta pertuduhan di mahkamah," katanya.