Arab Saudi tawar e-visa kepada lapan negara lagi

Arab Saudi pada Ahad mengumumkan bahawa rakyat di lapan negara lagi layak memperoleh e-visa (visa elektronik) pelawat. - Gambar hiasan
Arab Saudi pada Ahad mengumumkan bahawa rakyat di lapan negara lagi layak memperoleh e-visa (visa elektronik) pelawat. - Gambar hiasan
A
A
A

RIYADH - Arab Saudi pada Ahad mengumumkan bahawa rakyat di lapan negara lagi layak memperoleh e-visa (visa elektronik) pelawat, Xinhua memetik laporan Agensi Akhbar Saudi.

E-visa akan tersedia kepada pelawat dari Albania, Azerbaijan, Georgia, Kyrgyzstan, Maldives, Afrika Selatan, Tajikistan dan Uzbekistan untuk tujuan percutian, perniagaan dan keagamaan (umrah sahaja), menjadikan jumlah negara yang layak mendapat kemudahan itu kepada 57.

E-visa pelawat ini sah selama satu tahun, membolehkan beberapa kali kemasukan, dan membenarkan penginapan sehingga 90 hari.

Selepas melancarkan program e-visa pada 2019, Arab Saudi mengalu-alukan 93.5 juta pelancong pada 2022, peningkatan sebanyak 93 peratus berbanding 2021, menjana pendapatan pelancongan sebanyak 185 bilion Riyal Saudi (AS$49 bilion).

Pada 2022, Arab Saudi memutuskan untuk menawarkan e-visa pelawat kepada pemegang visa Schengen, British dan AS yang sebelum ini digunakan untuk memasuki negara-negara ini sebelum tiba di Arab Saudi dan kepada penduduk tetap Kesatuan Eropah, negara-negara Arab Teluk Parsi, Britain dan Amerika Syarikat.

Awal tahun ini, Arab Saudi mengumumkan pelancaran Visa Transit 96 jam percuma, membolehkan penumpang berada di negara itu sehingga 96 jam. - Bernama