PRN: BN guna strategi 'kekal dan rampas' tawan 6 negeri

Mohamad bercakap kepada pemberita semasa sidang media selepas berkempen sempena Pilihan Raya Negeri di Kuala Sawah pada Ahad. - Foto Bernama
Mohamad bercakap kepada pemberita semasa sidang media selepas berkempen sempena Pilihan Raya Negeri di Kuala Sawah pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A
SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) akan menggunakan strategi ‘kekal dan rampas’ (retain and regain) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kali ini, dalam usaha memastikan Kerajaan Perpaduan dapat menguasai negeri-negeri terbabit.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mengambil kira ‘mood’ pengundi ketika ini, selain situasi pilihan raya itu sendiri yang berubah-ubah, beliau optimis gabungan BN-PH mampu mengekalkan kemenangan di tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, serta merampas Kedah, Terengganu dan Kelantan.

"Mana tahu boleh jadi ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’. Setiap pilihan raya berbeza-beza... yang penting kita cuba dan pastikan rakyat dapat menerima dan memberi peluang kepada kita mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya.



Beliau yang merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata demikian selepas Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat, di Kuala Sawah di sini pada Ahad.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, sebelum ini dilaporkan berehat selama tiga hari berikutan dijangkiti virus influenza, namun telah mula turun padang berkempen berjumpa pengundi kawasannya sejak Sabtu.

Sementara itu mengulas sokongan dan reaksi daripada masyarakat terhadap kempen yang dilakukan oleh gabungan BN-PH sepanjang sembilan hari ini, Mohamad menyifatkannya amat baik dan berharap pengundi rasional dalam membuat keputusan, serta tidak terpengaruh dengan sentimen berkait perkauman serta agama.

"Jangan ikut sentimen kerana ia memang mudah dipengaruhi, terutamanya berkenaan kaum dan agama. Kesannya amat berbahaya kepada negara berbilang kaum ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang, serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!