Dua lelaki ditemukan selamat selepas bot terbalik

Bot dinaiki dua lelaki terbalik di kedudukan 2.1 batu nautika perairan Pulau Kapas pada Sabtu.
- Foto Maritim Terengganu
Bot dinaiki dua lelaki terbalik di kedudukan 2.1 batu nautika perairan Pulau Kapas pada Sabtu. - Foto Maritim Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua lelaki ditemukan selamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di kedudukan 2.1 batu nautika perairan Pulau Kapas pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairul Anuar Abd Majid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Rozaki Ibrahim, 47, dan Mohd Zaid Embong, 58, yang memakai jaket keselamatan diselamatkan bot nelayan yang berada di sekitar lokasi kejadian.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dengan bot ronda diaturgerakkan ke lokasi kejadian.

"Kedua-dua mangsa ditemui selamat ketika bot ronda tiba di lokasi. Mangsa kemudiannya telah dibawa oleh pihak Maritim ke Jeti Marang untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Khairul Anuar turut meminta kerjasama daripada masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan yang melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan berlaku di perairan negara ke talian MERS 999.