Gesa ahli UMNO sokong PN, tindakan terdesak raih undi - Jalaluddin

Jalaluddin dan laporan Sinar Harian.
Jalaluddin dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

JELEBU - Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendakwa kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang meminta ahli UMNO menyokong gabungan itu merupakan tindakan terdesak untuk meraih undi.

Malah Jalaluddin turut menegaskan ia merupakan pendekatan yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin PN.

"Mereka tidak mempunyai isu lain selain menggunakan isu-isu yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati, perasaan marah dan memainkan emosi dalam kalangan pengundi kita.

"Itu yang dilakukan mereka daripada awal dan sekarang ini mereka lebih menggunakan isu itu secara aktif. Saya juga mendapati ada (PN) sudah mula menyerang ataupun orang kata menggunakan isu peribadi pihak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai isu kempen mereka," katanya ketika ditemui pemberita dalam satu majlis di Pertang di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Jalaluddin yang merupakan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, beliau telah membuat penjelasan tentang beberapa perkara yang dimainkan oleh pembangkang itu membabitkan peranan presiden UMNO ke arah memperkukuhkan BN.

"Apa yang utamanya juga adalah ahli kita faham tentang kepentingan untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan dan tidak mensia-siakan undi mereka pada 12 Ogos nanti," katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau mahu penyokong BN dan PH berganding bahu dan keluar untuk kuatkan kubu masing-masing bagi memastikan undi itu dikumpul untuk melawan PN.

"Seperti yang saya katakan tadi, kita tidak boleh leka dan tidak boleh rasa tak perlu keluar undi sebab Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah menjadi Perdana Menteri.

"Sebenarnya pemikiran ini adalah salah dan saya menyeru penduduk walaupun di lokasi masing-masing kalau tak nampak aktiviti (kempen) PN pun kita tak boleh sangkakan mereka tidak kuat kerana mereka ada banyak dalam kumpulan WhatsApp, YouTube, TikTok dan lain-lain," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Hamzah meminta ahli UMNO menyokong PN sekiranya mereka sayangkan masa depan parti itu kerana dengan cara itu sahaja dapat mengubah masa depan parti tersebut sekali gus membolehkan ia diterima semula oleh rakyat.