FAM tak berkompromi dengan samseng bola sepak

Hamidin
Hamidin
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berkompromi dengan unsur keganasan atau hooligan membabitkan penyokong serta pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya memastikan unsur keganasan itu dapat dikekang sekali gus memastikan keselamatan penyokong yang hadir ke stadium.

“Pihak FAM dan saya sendiri dan juga jawatankuasa yang bertanggungjawab telah membuat tindakan dengan saluran yang betul.

“Saya menyeru agar perkara ini tidak berlaku lagi dan Insya-ALLAH kita akan melihat dengan sebaik mungkin.

“Kadang-kadang insiden ini boleh terjadi dan ini bukan pertama kali. Tetapi kita harap takkan terjadi lagi. Kita cuba untuk mengurangkan atau ‘zero hooligan’ mengenai perkara ini," katanya.

Sebelum ini, seorang penyokong Kuala Lumpur (KL) City FC didakwa dipukul sehingga patah hidung ketika final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim bulan lalu.

Malah, terdapat beberapa lagi insiden lain dilaporkan dalam saingan liga tidak hanya ancaman kepada penyokong, tetapi juga pelbagai insiden keterlaluan yang dilakukan pasukan bertanding.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan sekiranya perkara tersebut tidak diatasi sebaik mungkin.

Hamidin turut meminta kerjasama semua pihak agar mematuhi peraturan selain mahukan permainan bola sepak berlangsung tanpa sebarang keganasan.

“Saya kira isu ini boleh terjadi kadang-kadang meskipun perlawanan Liga Malaysia pun akan ada perkara ini terjadi.

“Tetapi FAM, MFL dan pihak berkuasa sudah lakukan sebaik mungkin untuk memastikan keselamatan para pengunjung yang datang, namun bila terjadi perkara sebegitu memang ia perkara yang berada di luar kawalan kami.

“Kita harap ia akan menjadi pengalaman untuk dibendung agar ia tidak berlaku lagi," katanya.