Anwar diyakini terus pacu kemajuan Pulau Pinang - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Pulau Pinang yang merupakan negeri kelahiran Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus dipacu dengan kemajuan teknologi di bawah kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Beliau berkata, walaupun Pulau Pinang merupakan negeri kedua termaju selepas Selangor, negeri itu akan terus diberi perhatian oleh Perdana Menteri.

"Kalau inilah insannya dan tokohnya yang akan memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju, maka tidak ada sebab (rakyat) Pulau Pinang tidak memberikan dukungan kepada Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang dan seluruh Malaysia," katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Pulau Pinang di Kampung Melayu, Air Itam di sini malam Sabtu.

Oleh itu, Ahmad Zahid berkata, semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum dan agama perlu mendukung kerajaan Pulau Pinang di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Pulau Pinang akan sekali lagi diterajui oleh pentadbiran Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

"Biarpun sudah 15 tahun BN (Barisan Nasional) dan UMNO tidak menyertai kerajaan Pulau Pinang, saya yakin atas keikhlasan Perdana Menteri dan atas restu Kon Yeow, BN akan menjadi sebahagian daripada kerajaan Pulau Pinang yang baharu," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mahu semua jentera BN memberi sokongan kepada semua calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada PRN kerana jentera PH juga telah memberi komitmen akan bekerja keras untuk memenangkan calon BN di Pulau Pinang. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!