Tandukan Selvaraj beri kelebihan buat skuad Jang

Foto: FB Negeri Sembilan FC
Foto: FB Negeri Sembilan FC
A
A
A

JUARA tiga kali, Negeri Sembilan FC mencatatkan kemenangan tipis 1-0 di tempat lawan ke atas Kelantan United FC pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2023 pada Sabtu.

Tandukan penyerang Sean Selvaraj yang memanfaatkan sepakan penjuru diambil bekas pemain kebangsaan Mahalli Jasuli, pada minit ke-28 menjadi jurang pemisah buat kedua-dua pasukan pada aksi berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan United yang cuba menyamakan kedudukan hampa apabila dua percubaan oleh pemain tengah, Mohd Faiz Mohd Nasir, masing-masing pada minit ke-36 dan ke-43 gagal menemui sasaran sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah yang meningkatkan tempo permainan hampir memperoleh gol penyamaan namun sepakan kencang pemain gantian Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-71 ditepis penjaga gol Skuad Jang Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan dicatat anak buah K. Devan pasti melegakan mereka yang bakal melayan kunjungan pasukan kendalian Ailton Dos Santos Silva di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dalam aksi timbal balik 20 Ogos ini. - Bernama