PRN: 891 laporan polis, 6 ceramah tidak berpermit

PDRM menerima 891 laporan berkaitan PRN di enam negeri dalam tempoh sembilan hari sejak 27 Julai lalu.
PDRM menerima 891 laporan berkaitan PRN di enam negeri dalam tempoh sembilan hari sejak 27 Julai lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 891 laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam tempoh sembilan hari sejak 27 Julai lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, laporan statistik kumulatif setakat 4 Ogos (Jumaat) itu mendapati Selangor paling tinggi menerima laporan polis iaitu 335 diikuti Kedah (226) dan Terengganu (150).

Menurutnya, selebihnya ialah Kelantan (92), Negeri Sembilan (75) dan Pulau Pinang (13).

"Sebanyak 1,772 ceramah adalah berpermit namun enam dikesan tidak berpermit iaitu empat di Terengganu manakala Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing dengan satu kes," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, polis turut membuka 47 kertas siasatan selain melaksanakan dua tangkapan.

Beliau berkata, statistik harian pada Jumaat pula merekodkan 137 laporan polis dan 385 ceramah berpermit di enam negeri terlibat PRN.

Ujarnya, antara siasatan yang dibuka ialah khianat iaitu poster calon yang dipercayai dibakar di Marang, Terengganu, simbahan air bercampur minyak di khemah parti di Seremban, Negeri Sembilan serta kehilangan 'banner' dan bendera parti Bebas di Butterworth, Pulau Pinang.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan," ujarnya.