'Menang atau kalah, saya tetap bersama rakyat' - Ayahanda Cik Ton

Fazil Mohamad Dali
Fazil Mohamad Dali
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Fazil Mohamad Dali berserah kepada pengundi selepas berusaha sebaik mungkin selain berdoa serta bertawakal.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia (ACT) berkata, menang atau sebaliknya beliau akan tetap bersama rakyat.

"Pertamanya saya anak tempatan, kedua saya sudah bergerak melalui badan bukan kerajaan (NGO) sebelum terlibat dalam politik. (Aktiviti) saya (sebelum ini) sudah berjalan seperti orang politik dalam membantu rakyat.

"Bagaimanapun, semuanya kita berserah kepada ALLAH dan apa sahaja keputusan semua datang pada ALLAH dan saya akan tetap dengan badan NGO ini untuk membantu (menang atau kalah)," katanya yang lebih dikenali dengan nama Ayahanda Cik Ton.

Beliau berkata demikian ketika ditanya peluangnya pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor di sebuah hotel di sini pada Jumaat malam.

Kerusi Pandan Indah menyaksikan saingan empat penjuru pada 12 Ogos ini selain Fazil, Pakatan Harapan (PH) meletakkan penyandang kerusi tersebut, Ir Izham Hashim bagi mempertahankan Pandan Indah.

Sementara dua lagi calon ialah Lisa Redzuan yang juga Timbalan Ketua Parlimen Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Bandar Tun Razak mewakili Muda dan seorang calon Bebas, Sivaneswaran Ramasundram.

Fazil menambah, beliau juga tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang tempoh berkempen di Pandan Indah termasuk mempunyai hubungan baik dengan penyandang kerusi berkenaan.

"Tiada masalah (dengan Izham), masing-masing mengamalkan politik yang sihat di antara saya dan dia," tambahnya lagi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

ARTIKEL BERKAITAN:'Budaya samseng itu cerita lama, beri peluang kepada saya' - Ayahanda Cik Ton