Gagal mohon maaf, Syahredzan saman YDP Pas Bangi

Dari kiri: Syahredzan, Mohd Shafie
Dari kiri: Syahredzan, Mohd Shafie
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Pas Bangi, Mohd Shafie Ngah selepas gagal memohon maaf dan membayar pampasan kepadanya kerana didakwa memfitnahnya dalam program Perikatan Nasional (PN).

Syahredzan berkata, writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan menerusi peguamnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu.

“Seperti yang umum ketahui, saya telah menghantar Notis Tuntutan bertarikh 12 Julai 2023. Surat tersebut menuntut antara lain permohonan maaf dan pampasan kepada saya atas beberapa kenyataan yang dibuat oleh Mohd Shafie tentang saya dalam dua majlis PN Bangi iaitu pada Oktober 2022 dan Julai 2023.

“Kedua-dua majlis tersebut disiarkan di media sosial dan juga mendapat liputan media, namun demikian, Mohd Shafie telah enggan memenuhi tuntutan,” katanya menerusi akaun Facebooknya pada Jumaat.

Jelas Syahredzan, melalui tindakan saman fitnah itu pihaknya menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, permohonan maaf dan perintah untuk menghalang calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal itu daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah.

“Writ saman dan pernyataan tuntutan ini akan diserahkan kepada Mohd Shafie oleh peguam saya.

“Saya juga telah memohon suatu injunksi interim bagi menghalang beliau daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan lain yang berunsur fitnah terhadap saya sementara menunggu perbicaraan tindakan saman tersebut," katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan semua pihak agar berkempen dengan matang dan sejahtera, serta menjaga hubungan sesama manusia.

“Saya sudah memberi amaran sebelum ini kepada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memfitnah saya bahawa saya tidak akan teragak-agak untuk menegakkan hak saya,” ujarnya.

Pada Mei lalu, Syahredzan turut dilaporkan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penyokong PN terutama Pas yang memfitnahnya berhubung isu kalimah ALLAH.