Syahredzan tuntut bekas ADUN Bangi mohon maaf

Syahredzan, Mohd Shafie
Syahredzan, Mohd Shafie
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menuntut Yang Dipertua Pas Bangi, Mohd Shafie Ngah melakukan permohonan maaf selain membayar pampasan kepadanya susulan beberapa kenyataan fitnah yang dibuat dalam dua majlis Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Syahredzan berkata, sekiranya tuntutan berkenaan tidak dipenuhi dalam tempoh 48 jam, tindakan guaman akan dikenakan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi itu.

"Sebagai Ahli Parlimen Bangi, saya terbuka untuk dikritik mengenai prestasi saya sejak dipilih dengan sah pada tahun lepas.

"Akan tetapi, nampaknya PN di Bangi hanya berminat untuk bermain politik fitnah dan kebencian, bukannya politik matang atau sejahtera," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Sebelum ini Syahredzan dilapor tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penyokong PN terutama Pas yang memfitnahnya berhubung isu kalimah ALLAH.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada veteran DAP, Lim Kit Siang, menegaskan, mana-mana pihak yang masih berdegil dan terus memfitnahnya akan berdepan risiko disaman.

Dalam pada itu Shahredzan memaklumkan, peguamnya telah menghantar surat tuntutan tersebut pada hari ini.

"Maka dengan ini, bermulalah proses terhadap beliau (Mohd Syafie).

"Kenyataan-kenyataan yang dipertikaikan adalah tidak benar sama sekali dan merupakan fitnah terhadap saya," tegasnya.