PRN: Calon wanita lebih hebat meraih undi, kata Eka

Eka (dua dari kanan) berbincang perjalanan kempen di Bilik Gerakan Calon PH-BN di Taman Perumahan Batu Hampar pada Jumaat.
Eka (dua dari kanan) berbincang perjalanan kempen di Bilik Gerakan Calon PH-BN di Taman Perumahan Batu Hampar pada Jumaat.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Menjadi satu-satunya calon wanita mewakili Pakatan Harapan (PH) di Terengganu bukan cabaran besar kepada Eka Lisut untuk bersaing pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Sebaliknya menurut calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir itu, golongan wanita lebih hebat berbanding lelaki dalam aspek meraih undi.

"Muncul sebagai calon wanita tunggal mewakili PH-Barisan Nasional (BN) kali ini saya tidak berdepan dengan sebarang cabaran.

"Malah, kalau kita lihat calon wanita ini lebih hebat sebenarnya kalau berkempen kerana mereka pandai meraih undi.

"Jadi, sebab itulah saya rasa mana-mana parti perlu memberi peluang lebih besar kepada calon wanita untuk bertanding," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Calon PH-BN di Taman Perumahan Batu Hampar di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, ditanya sama ada kontroversi calon PH DUN Manir yang ditukar saat akhir memberi kesan kepada gerak kerja jentera parti, Eka menjelaskan perkara tersebut tidak berlaku.

Malah, Eka juga mengakui dirinya mendapat sokongan yang kuat daripada jentera parti Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh berkempen ini.

Mengulas mengenai peluangnya memenangi kerusi tradisi Pas tersebut, Eka berkata, berdasarkan sambutan yang diberikan pengundi di kawasan itu amat memberangsangkan.

Justeru katanya, peluang untuk dirinya merampas kerusi berkenaan pada pilihan raya kali ini masih terbuka.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!