Sebahagian besar rakyat dibayar gaji rendah - Rafizi

Rafizi menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menzahirkan kebimbangan apabila Laporan Statistik Upah Pekerja Sektor Formal Suku Tahun 2023 menunjukkan sebahagian besar rakyat dibayar gaji yang rendah.

Menurutnya, sebanyak 82 peratus daripada 6.46 juta pekerja formal bergaji kurang dari RM5,000 sebulan manakala 35 peratus dibayar RM2,000 ke bawah.

"Sekiranya tiada dasar campur tangan dalam penentuan gaji, kami bimbang kecenderungan gaji permulaan tidak akan jauh beza dengan gaji minimum sekarang RM1,500," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan laporan itu di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, gaji permulaan untuk pekerja lepasan ijazah sepatutnya lebih tinggi bagi menjarakkan daripada gaji minimum.

Jelasnya, gaji minimum RM1,500 sebenarnya adalah untuk pekerja yang tidak berkemahiran.

Rafizi (tengah) bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron (kiri) melancarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

"Berdasarkan statistik dapatan awal menunjukkan ia (gaji pekerja mahir) sebenarnya mengheret ke bawah merapat gaji minimum.

"Paras gaji minimum itu telah diguna sebagai rujukan untuk membayar terutama lepasan ijazah dan pekerja berkemahiran yang muda," katanya.

Menurut beliau, fenomena tersebut memerlukan dasar segera untuk diperbetulkan.

"Kita boleh yakin bahawa memang ada masalah gaji. Ia bukan cakap-cakap saja, Sekarang ia boleh disahkan oleh data lebih enam juta pekerja.

"Saya pasti perkara ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam dan di peringkat kementerian," katanya.

Ujar Rafizi, mesyuarat Dasar Gaji Progresif Isnin ini akan membentangkan jalan tengah yang boleh dilaksana secara praktikal di negara ini selain mendapat sokongan majikan.

"Terdapat banyak model yang berlainan mengikut negara tertentu dan pihak majikan telah memberi maklum balas menerusi sesi libat urus sebelum ini," katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah wang setiap tahun untuk kenaikan gaji khususnya sektor swasta.

"Sebelum ini kerajaan hanya menaikkan gaji sektor awam dan swasta tidak dapat apa-apa kerana tiada sebarang dasar.

"Ia memerlukan satu persetujuan oleh kerajaan untuk membuat peruntukan setiap tahun dan ini akan dibincangkan," katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Median upah bulanan kaum Cina tertinggi