Median upah bulanan kaum Cina tertinggi

Mohd Uzir ketika membentangkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 yang diadakan di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya pada Jumaat. - FOTO ROSLI TALIB
Mohd Uzir ketika membentangkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 yang diadakan di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya pada Jumaat. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kaum Cina mendahului median upah bulanan tertinggi iaitu RM4,000 pada Mac lalu berbanding etnik lain.

Berdasarkan statistik Upah Pekerja Suku Pertama Sektor Formal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kaum India menduduki tempat kedua median upah bulanan iaitu RM2,500 manakala bumiputera RM2,000.

Median upah bulanan lain-lain etnik adalah RM2,000.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata, statistik itu merangkumi 6.45 juta pekerja formal yang mana menunjukkan peningkatan 0.9 peratus berbanding bulan sebelumnya, 6.43 juta.

"Berdasarkan jantina, pekerja lelaki menerima median upah bulanan tertinggi berbanding wanita.

"Ia merangkumi 55.5 peratus atau seramai 3.58 juta orang dengan median upah sebanyak RM2,664 sebulan," katanya pada pembentangan laporan tersebut di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Menurutnya, sebanyak 44.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal diwakili oleh pekerja perempuan bersamaan dengan 2.87 juta orang dengan median upah bulanan sebanyak RM2,545.

"Median upah bulanan bagi kedua-dua jantina menunjukkan peningkatan, masing-masing sebanyak 8.0 peratus dan 8.6 peratus berbanding Mac tahun lalu," jelas beliau.

Mohd Uzir berkata, pekerja berumur 40 hingga 49 tahun merupakan kumpulan yang mendapat upah tertinggi iaitu RM3,500 sebulan.

"Kumpulan ini secara kolektif membentuk hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja formal," katanya.

Beliau berkata, berlaku penurunan bagi kumpulan umur 50 hingga 54 tahun dengan median upah bulanan sebanyak RM3,400 pada Mac.

Sebaliknya, kumpulan umur bawah 20 tahun menerima median upah bulanan terendah RM1,500 bagi bulan sama.

"Perlombongan dan pengkuarian merupakan sektor tertinggi menerima median upah bulanan iaitu RM7,500 dengan peningkatan 33.9 peratus.

Ia mengatasi sektor pembinaan (RM2,764), perkhidmatan (RM2,627), pembuatan (RM2,444) dan pertanian (RM1,900)," katanya.

Merujuk kepada perbezaan kadar upah bulanan yang diterima berdasarkan kaum, Mohd Uzir menjelaskan, banyak di kalangan sesetengah etnik yang berpendidikan tinggi berhijrah ke sektor swasta.

"Pada peringkat awal ini kita tidak mengambil sebahagian besar gaji sektor awam sebab laporan ini berdasarkan data daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial,” katanya.

Tambah beliau, dalam penerbitan laporan akan datang, DOSM akan mengambil kira data dari Jabatan Akauntan Negara untuk mendapatkan perspektif yang lebih menyeluruh.