PRN: Cikgu Yuseri tawar buka pusat tuisyen percuma

Mohd Yuseri ketika beramah mesra dengan penduduk.
Mohd Yuseri ketika beramah mesra dengan penduduk.
A
A
A

MARANG - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Mohd Yuseri Isa mahu membuka pusat tuisyen secara percuma kepada pelajar terutama daripada golongan berpendapatan rendah sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga bekas guru dan pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang serta Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) berkata, inisiatif tersebut sebagai usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan kepada pelajar kurang berkemampuan sekali gus mampu mengurangkan beban keluarga.

Selain itu, katanya, beliau yang dikenali sebagai Cikgu Yuseri juga mahu membangunkan ekonomi penduduk setempat memandangkan sebahagian besar penduduk di DUN Alur Limbat ialah petani dan penoreh getah.

Mohd Yuseri mahu membuka pusat tuisyen secara percuma kepada pelajar terutama daripada golongan berpendapatan rendah sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Mohd Yuseri mahu membuka pusat tuisyen secara percuma kepada pelajar terutama daripada golongan berpendapatan rendah sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

"Golongan tersebut memerlukan banyak bantuan dan sokongan daripada kerajaan untuk membangunkan hasil pertanian bagi menjana ekonomi mereka.

"Sekiranya dipilih (ADUN), saya berikrar membantu mereka selain berhasrat untuk membuka sebuah (memohon pembinaan) sekolah rendah baharu bagi menampung keperluan murid-murid yang semakin bertambah berikutan kepadatan penduduk," katanya ketika ditemui di Kampung Gelugor, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Yuseri menyifatkan dirinya bertuah kerana mempunyai sahabat guru yang ramai di kawasan berkenaan.

Justeru, beliau mahu memanfaatkan kelebihan tersebut dengan sebaik mungkin dalam tempoh berkempen bagi memastikan DUN berkenaan kembali menjadi milik BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos nanti.

"Masyarakat di DUN Alur Limbat turut bersama membantu berkempen kerana saya berasal dari DUN ini iaitu di Padang Sepulau Kampung Tasek.

"Saya mahu memanfaatkan peluang yang ada ini sebaik mungkin untuk menyantuni mereka dengan mendengar keluhan dan pandangan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN," ujarnya.