Caprice minta maaf pada SM Faisal

Kes saman fitnah antara ahli perniagaan, SM Faisal terhadap penyanyi rap, Caprice (gambar kiri) diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Kes saman fitnah antara ahli perniagaan, SM Faisal terhadap penyanyi rap, Caprice (gambar kiri) diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes saman fitnah antara ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap Caprice diselesai secara baik selepas penyanyi rap ini membuat permohonan maaf di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Saman itu berhubung tindakan Caprice memuat naik hantaran fitnah menerusi Instagram miliknya dengan mengaitkan SM Faisal dengan kes bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Datuk Akberdin Kader yang mewakili SM Faisal selaku plaintif selepas prosiding diadakan dalam kamar Hakim, Azian Othman.

Menurutnya, ketika prosiding, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli juga telah meminta maaf kepada anak guam namun dia juga perlu membuat maaf dalam tempoh 48 jam menerusi Instagramnya.

"Terma-terma lain yang telah dipersetujui termasuk kos tidak boleh didedahkan secara terperinci,” katanya kepada pemberita selepas prosiding persetujuan itu yang direkodkan di mahkamah, yang turut dihadiri peguam, Harjoth Singh mewakili Caprice selaku defendan.

Sementara itu SM Faisal ketika ditemui berkata, beliau gembira kes saman fitnah itu akhirnya dapat selesai secara baik.

Menerusi Instagram milik Caprice, dia telah memuat naik permohonan maaf yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

SM Faisal yang mengemukakan saman itu pada 15 Ogos 2022, berkata, pada 27 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.

SM Faisal mendakwa pada 28 Jun tahun lepas, Caprice memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, melalui Instagram defendan yang antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu.