Median upah sektor formal di Kelantan terendah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah sektor formal terendah berbanding negeri lain.

Bagaimanapun, Statistik Upah Pekerja Suku Pertama Sektor Formal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan upah bulanan ketiga-tiga negeri tersebut meningkat saban tahun.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, upah bulanan pada Mac di Kelantan adalah RM1,600 meningkat 14.3 peratus.

"Peningkatan sebanyak 16.2 peratus direkodkan di Perlis menjadikan kadar upah bulanan di negeri itu RM1,627 sementara Sabah pula meningkat 13.7 peratus dengan kadar upah RM1,782," katanya.

Beliau berkata, pekerja sektor formal di Kuala Lumpur pula menerima upah bulanan tertinggi iaitu RM3,927 sebulan.

Ia diikuti oleh Selangor RM2,964 dan Pulau Pinang RM2,627.

"Dari segi taburan upah pada Mac, sebanyak 34.8 peratus daripada pekerja formal menerima pendapatan di bawah RM2,000 namun peratusan ini menurun daripada 40.2 peratus yang direkodkan pada bulan Mac tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, ia berkemungkinan kesan daripada kenaikan kadar gaji minimum mulai Mei 2022.

"Pada masa yang sama, kira-kira 5.2 peratus pekerja formal warganegara menerima upah tertinggi iaitu RM15,000 dan ke atas," katanya.

Sungguhpun begitu ujar Mohd Uzir, nisbah upah antara kumpulan penerima upah tertinggi dan terendah menggambarkan penerima upah di kelas yang tertinggi menerima lebih daripada enam kali ganda upah berbanding penerima upah di kelas terendah.

"DOSM akan terus mengukuhkan penyusunan dan penghasilan statistik gaji dan upah dalam pelbagai dimensi yang diperlukan bagi menghasilkan maklumat yang lebih bertepatan masa.

"Ia sekali gus membantu pembangunan profil pekerja yang komprehensif meliputi dimensi kemahiran, pendidikan, maklumat tanggungan, percukaian, perlindungan sosial dan lain-lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebahagian besar rakyat dibayar gaji rendah - Rafizi

Median upah bulanan kaum Cina tertinggi