Tak sempat joli hasil jenayah

Antara barang yang dirampas.
Antara barang yang dirampas.
A
A
A
KLANG - Sebelum sempat menjolikan hasil jenayah pecah rumah, sudah dicekup.

Kegiatan jenayah yang dilakukan dua lelaki itu dikesan anggota ronda cegah jenayah Balai Kapar yang sedang melakukan rondaan di Taman Kapar Ria, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisoner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dalam kejadian jam 1 pagi itu, seorang suspek berusia lingkungan 20-an berjaya diberkas, manakala rakannya meloloskan diri.

Menurutnya, polis menemui dan merampas peralatan dipercayai untuk kegunaan pecah rumah daripada suspek.

"Suspek dicekup manakala seorang lagi rakan yang berjaya meloloskan diri. Ketika pemeriksaan, polis menemui sebatang besi tajam yang dipercayai digunakan sebagai alat untuk pecah rumah yang tersisip di pinggang seluar suspek.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui wang tunai RM400 yang berada di dalam tangan serta sebuah telefon bimbit, tiga bentuk subang dan dua cincin emas di dalam seluar suspek," katanya.

Nurulhuda berkata, pihaknya percaya suspek baru selesai melakukan jenayah pecah rumah di kawasan berhampiran.

Katanya, suspek yang memiliki enam rekod jenayah ini kini direman enam hari.

"Polis kini masih giat memburu seorang lagi suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel Berkaitan: