Polis Terengganu terima tiga laporan khianat papan iklan, bendera

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga laporan diterima polis berhubung perbuatan khianat pada papan iklan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu selain merosakkan bendera parti bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) ini.

Ketua Urusetia PRN Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Noor Halim Nordina berkata, laporan itu diterima pada Rabu secara berasingan membabitkan dua kes di daerah ini dan satu di Marang.

"Kita menerima dua laporan merosakkan papan iklan calon PRK Kuala Terengganu bersama Perdana Menteri.

"Kita juga menerima laporan dibuat di Marang berhubung kejadian bendera Barisan Nasional dirosakkan.

"Semua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding PRK Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail membuat laporan polis berhubung perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab terhadap bahan kempen beliau.

Azan berkata, perbuatan khianat itu dikesan berlaku sejak beberapa hari lepas, namun kejadian mengoyakkan poster yang memaparkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggunakan objek tajam, dikesan pada Rabu dan disifatkan sebagai keterlaluan.

Mengulas lanjut, Noor Halim berkata, pihaknya akan terus memantau aktiviti kempen calon dan parti bertanding bagi memastikan ketenteraman awam terus kekal harmoni.

"Kita menyeru sekali lagi agar semua pihak yang terlibat sepanjang berkempen tidak menimbulkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil.

"Berkempenlah secara berhemah dan tidak terlalu mengikut emosi," ujarnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!