Rohingya diberi janji palsu

Etnik Rohingya yang menetap di kem pelarian penuh sesak di Cox's Bazar, Bangladesh tidak bernegara selepas Myanmar tidak lagi mengiktiraf kewarganegaraan mereka pada 2015. - Agensi
Etnik Rohingya yang menetap di kem pelarian penuh sesak di Cox's Bazar, Bangladesh tidak bernegara selepas Myanmar tidak lagi mengiktiraf kewarganegaraan mereka pada 2015. - Agensi
A
A
A

DHAKA - Pelarian Rohingya di kem penuh sesak Cox's Bazar, Bangladesh mungkin dihantar semula ke kampung asal mereka di Myanmar bukannya di penempatan baharu seperti yang dijanjikan dalam program perintis penghantaran pulang yang dicadangkan.

Menurut sumber, pertemuan antara Duta Khas China untuk Hal Ehwal Asia, Deng Xijun dengan Menteri Luar, AK Abdul Momen telah memberi petunjuk bahawa perkara sedemikian boleh berlaku.

Tambah sumber itu, Xijun memberitahu pihak berkuasa Bangladesh bahawa Yangon memberi isyarat bahawa pelarian Rohingya yang dihantar pulang tidak akan dibawa ke mana-mana kem atau penempatan baharu yang telah dirancang oleh pihak berkuasa Myanmar sebelum ini.

Pada pertemuan itu, Xijun dan AK Abdul membincangkan rancangan untuk menghantar pulang 7,000 pelarian Rohingya menjelang Disember yang mungkin bermula selepas monsun.

AK Abdul bagaimanapun, berkata belum ada garis masa yang ditetapkan untuk proses penghantaran pulang itu.

Bangladesh dan Myanmar telah bersetuju dengan program perintis penghantaran pulang 1,176 pelarian, walaupun kebimbangan dibangkitkan oleh pelarian dan kumpulan hak asasi seperti Human Rights Watch (HRW) yang memberi amaran ia menimbulkan "risiko besar".

Dhaka telah berulang kali mengatakan sebarang penghantaran pulang adalah secara sukarela.

Sebelum ini beberapa pelarian Rohingya yang terlibat dalam program itu mendakwa telah diugut untuk menyertainya.

Hampir sejuta pelarian Islam Rohingya tinggal di kem di daerah sempadan Cox's Bazar di Bangladesh, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras diketuai tentera di Myanmar pada 2017.

Terdesak untuk mencari tempat yang lebih baik, ramai Rohingya mempertaruhkan nyawa mereka melakukan pelayaran laut berbahaya dari Bangladesh ke negara seperti Malaysia dan Indonesia. - Agensi