Fitnah kempen di masjid: Fahmi beri tempoh 24 jam mohon maaf

Fahmi berucap pada Jelajah Madani DUN N49 Sungai Kandis di Kampung Johan Setia, Shah Alam hari ini.
Fahmi berucap pada Jelajah Madani DUN N49 Sungai Kandis di Kampung Johan Setia, Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memberi tempoh 24 jam kepada dua individu yang melontarkan fitnah kononnya beliau menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang baru-baru ini supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu berkata, notis tuntutan telah dihantar oleh peguamnya kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abdul Rani dan pentadbir Laman Facebook 'N13 Kuang' petang tadi.

Fahmi berkata, notis itu bagi membersihkan namanya daripada tuduhan mengadakan ceramah di masjid sedangkan beliau hanya menjelaskan tindakan mengharamkan kumpulan muzik The 1975 seperti diminta oleh ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di situ.

"Masa itu ada orang tangkap gambar dan tulis saya ceramah tanpa tauliah, berpolitik dan kempen di dalam masjid sedangkan ia bukan begitu.

"Alhamdulillah, petang tadi Ketua Polis Selangor mengumumkan setelah 22 saksi disiasat, beliau kata saya, Fahmi Fadzil, tidak bersalah," katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis dekat sini hari ini.

Beliau berkata notis itu, antara lain, adalah bagi menunjukkan bahawa perbuatan memfitnah tidak boleh sama sekali dikompromi terutama dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tidak ada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Ahad lepas. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan isu ceramah Fahmi di masjid

Isu ucapan di masjid: Fahmi pertimbang saman pemfitnah

PN sokong tindakan JAIS siasat Fahmi berucap di masjid - Hamzah

JAIS siasat laporan Fahmi Fadzil berucap di masjid

Fitnah ceramah politik di masjid, Fahmi kemuka dua notis tuntutan