PN sokong tindakan JAIS siasat Fahmi berucap di masjid - Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SABAK BERNAM - Perikatan Nasional (PN) menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjalankan siasatan berhubung gambar tular Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap di sebuah masjid di Rawang pada Ahad.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sesiapa sahaja tanpa mengira parti politik yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan JAIS harus diambil tindakan.

"Saya yakin JAIS melakukan sesuatu yang adil dan rakyat akan memahami agensi ini (tegas) kepada mana-mana parti (yang melakukan kesalahan untuk diambil tindakan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Himpunan Jentera Sungai Air Tawar di Markas Tarbiah Pas di Bagan Nakhoda Omar di sini pada malam Isnin.

Hamzah berkata, JAIS sebagai sebuah organisasi Islam di negeri ini seharusnya dihormati dan umat Islam terutama pemimpin dinasihatkan mematuhi undang-undang, peraturan serta garis panduan yang sudah ditetapkan

"Siapa sahaja yang salah dan melanggar perintah (dan peraturan) yang telah dibuat, maka tindakan harus diambil.

"Jangan biarkan satu pihak sahaja yang boleh lakukan (kesalahan), (manakala pihak lain) tidak boleh," ujar beliau.

Beliau memberitahu, sekiranya tindakan adil dilakukan sudah tentu rakyat dapat menilai dan percaya kepada sesebuah agensi tersebut.

Menurut Hamzah, agensi kerajaan lain juga seharusnya mengikut contoh JAIS yang menjalankan siasatan secara adil tanpa berat sebelah.

"Kita tidak mahu agensi kerajaan lain pilih kasih dan tidak ada keadilan terutama melibatkan pemimpin PN," jelas beliau.

Ujarnya, pemimpin yang melanggar ketetapan JAIS juga disifatkan ingkar terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang setiap ahli politik yang tiada tauliah berceramah di masjid atau surau.

Mengulas mengenai kenyataan Fahmi yang menjelaskan ucapannya dalam sebuah masjid itu hanya berkisar mengenai isu kumpulan The 1975 tanpa menyentuh hal politik, Hamzah berkata, perbuatan itu tetap menjadi kesalahan.

"Bercakap mengenai kumpulan The 1975 dalam surau atau masjid lagi berat (kesalahannya)," jelas beliau.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, JAIS mengesahkan menerima aduan berhubung gambar Fahmi berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Ahad.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

Fahmi dalam kenyataannya di Facebook menjelaskan ucapannya dalam sebuah masjid di Kuang, Rawang hanya berkisar mengenai isu kumpulan The 1975 tanpa menyentuh hal politik atau berkempen untuk PRN.