Calon PH Kajang tumpu selesai isu bekalan air

David (tengah) menerima aduan gangguan bekalan air dihadapi penduduk pada Selasa.
David (tengah) menerima aduan gangguan bekalan air dihadapi penduduk pada Selasa.
A
A
A

KAJANG - Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Kajang, David Cheong meletakkan sasaran untuk menyelesaikan isu gangguan bekalan air penduduk di Pangsapuri Asa Jaya.

David berkata, perumahan itu menghadapi masalah gangguan bekalan air disebabkan tunggakan bil.

Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi Air Selangor untuk memohon penyambungan semula air dilakukan sebagai penyelesaian jangka pendek.

"Untuk jangka masa panjang, saya cadangkan penduduk setempat supaya menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi menyelesaikan isu kebersihan dan infrastruktur asas yang dihadapi.

"Kami akan bantu penubuhan JMB berkenaan dan juga membantu menyelesaikan isu bekalan air yang sering dihadapi selama ini," katanya ketika mengadakan lawatan ke perumahan itu pada Selasa.

Beliau memaklumkan, penduduk telah kembali menerima bekalan air pada malam Selasa selepas isu itu dibawa kepada Air Selangor.

Katanya, penghuni Pangsapuri Asa Jaya masih tidak memiliki meter individu dan menggunakan meter pukal antara punca masalah tunggakan bil.

"Saya mendengar rintihan semua pengundi dan akan membantu meyelesaikan masalah yang dihadapi warga Kajang seandainya diberi mandat oleh pengundi DUN Kajang sebagai Wakil Rakyat.

“Kelebihan pasukan kempen PH berbanding dengan calon parti lain, kami memiliki pasukan khidmat yang telah lama berkhidmat.

Kami bukan hanya memberi janji sa, tetapi telah membuktikan komitment kami melalui pasukan khidmat yang mantap," katanya.