Sasar sapu bersih kerusi DUN Terengganu, Pas tak sombong - Hishamuddin

Hishamuddin Abdul Karim
Hishamuddin Abdul Karim
A
A
A

KUALA NERUS - Pas menafikan bersikap sombong apabila mensasarkan untuk menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Sebaliknya, calon Pas bagi DUN Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, sasaran itu dibuat bersandarkan bacaan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurutnya, berdasarkan keputusan Parlimen itu Barisan Nasional (BN) hanya berjaya mempertahankan DUN Telemung di Hulu Terengganu.

"Pas mensasarkan (menang PRN) 32-0 bukan sombong atau sengaja hendak letak jumlah itu (sapu bersih).

"Kita tetap sandarkan kepada kuasa ALLAH SWT dalam soal kemenangan. Kita tidak boleh melangkaui kehendak dan kemahuan ALLAH SWT.

"(Kita sasar) 32-0 ini kerana unjuran yang diperoleh daripada majoriti setiap kawasan DUN semasa PRU15 tempoh hari," katanya ketika Ceramah Pengenalan Calon DUN Pas di Parlimen Kuala Nerusi di Batu Enam di sini pada malam Selasa.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, dalam mencapai hasrat untuk menyapu bersih semua kerusi berkenaan, semangat perpaduan dalam kalangan jentera sangat penting.

Ujarnya, dalam tempoh penting ini, jentera parti tidak boleh berpecah atau berbalah sesama sendiri.

"Kalau kita hendak menang 32-0, kita kena kerja kuat dan yang penting jangan bergaduh," katanya.

Pada PRU14 lalu, kerusi DUN Tepuh dimenangi Hishamuddin, dengan memperoleh 10,728 undi menewaskan pesaingnya dari BN, Datuk Basir Ismail yang mendapat 8,065 undi sementara calon PKR, Wan Hafizie hilang deposit dengan mendapat 1,002 undi.