Kebajikan nelayan fokus utama calon PH, PN di Kubang Rotan

Asmirul (kanan) menemui komuniti nelayan di Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah. (Gambar kecil: Mohd Asmirul, Salleh)
Asmirul (kanan) menemui komuniti nelayan di Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah. (Gambar kecil: Mohd Asmirul, Salleh)
A
A
A

KUALA KEDAH - Masalah dan kebajikan nelayan antara yang bakal menjadi tumpuan calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) jika menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.

Calon PH yang juga penyandang DUN Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, beberapa perancangan dirancang malah beliau mahu menyelesaikan beberapa isu dihadapi di kawasan tersebut jika diberi mandat sekali lagi.

Antara fokus beliau adalah memudahkan permohonan lesen kepada nelayan, memohon kepada Jabatan Perikanan supaya mewujudkan zon tangkapan ikan baharu serta menyelesaikan masalah utama penambahbaikan infrastruktur terutama di kawasan pendaratan ikan.

"Kawasan-kawasan di pulau yang dipanggil sebagai taman laut di bawah perikanan mungkin terlalu jauh (untuk nelayan kecil). Jadi mereka tidak boleh nak mencari ikan, itu isunya.

"Infrastruktur di kawasan ini (pelantar ikan) ialah tandas. Di sini isu tanah di bawah kerajaan negeri dan juga Jabatan Pengairan Saliran (JPS). Kalau kita boleh selesaikan isu ini, pembangunan infrastruktur akan diteruskan seperti mana dirancang contohnya tandas dan kawasan parkir lebih banyak," katanya semasa ditemui pada program turun padang di DUN Kubang Rotan, dekat sini.

Sementara itu, perkara sama turut disuarakan calon PN, Datuk Salleh Saidin yang melihat nasib nelayan perlu diberikan perhatian termasuk memfokuskan perkembangan ekonomi dan pendidikan masyarakat di kawasan berkenaan.

Jelasnya, DUN Kubang Rotan juga mempunyai daya tarikan yang mampu diketengahkan dan beliau mengakui pembangunan serta menaik taraf infrastruktur perlu diberikan perhatian terutamanya di tempat pendaratan ikan.

"Tandas (penting) untuk kegunaan mereka yang ke pasar kota nelayan ini.

"Kawasan parkir juga antara isu yang jadi tumpuan dan masalah ini juga saya akan bawa ke dalam dewan nanti jika terpilih di DUN Kubang Rotan ini," ujar beliau semasa turun padang berkempen di Pasar Nelayan Kubang Rotan dan Seberang Kota.

Terdahulu, nelayan yang ditemui meluahkan rasa kecewa kerana gagal memperolehi lesen untuk membolehkan mereka turun ke laut mencari rezeki termasuk berdepan kos sara hidup yang meningkat.

Akibat perlu mencari rezeki untuk menyara keluarga, nelayan terpaksa juga ke laut walaupun sedar menjadi kesalahan jika tidak mempunyai lesen kerana melanggar Akta Perikanan, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Pada Pilihan Raya Umum Ke 14 lalu, Dun Kubang Rotan dimenangi oleh Mohd Asmirul Anuar dengan majoriti 6,535 undi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!