Kemuka statistik kadar jenayah tiada kaitan cermin gelap

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) disyorkan untuk mengemukakan kajian dan statistik yang membuktikan kadar jenayah tiada kaitan dengan penggunaan cermin gelap, kata Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, maklumat itu penting bagi mengatasi kebimbangan sesetengah pihak mengenai kemungkinan meningkatnya kes jenayah berikutan penggunaan cermin gelap sepenuhnya pada cermin sisi dan cermin belakang di bahagian penumpang kenderaan persendirian.

''Banyak pihak melahirkan kebimbangan bahawa penjenayah boleh menyembunyikan diri di tempat duduk belakang kenderaan yang mempunyai cermin gelap manakala mangsa culik mungkin tidak dapat dilihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Peraturan baharu cermin gelap

"Semua agensi penguatkuasaan perlu duduk semeja dan berbincang mengenai perkara ini dan mencari jalan untuk mengatasi sebarang masalah ekoran pengenalan had cermin gelap baharu itu,'' katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peraturan semasa cermin gelap bagi cermin bahagian belakang dan sisi adalah tanpa had, manakala peraturan sedia ada bagi cermin hadapan dan cermin sisi bahagian pemandu kekal iaitu pada kadar 70 peratus dan 50 peratus. Peraturan baharu itu berkuat kuasa pada hari ini.

Bagaimanapun, Lee optimis penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had di bahagian belakang mampu melindungi penumpang daripada menjadi mangsa jenayah. ''Ia mampu melindungi penumpang daripada terik cahaya matahari selain mengurangkan kejadian pecah kereta apabila pencuri tidak lagi dapat mengintai barangan yang berada di dalam kenderaan.

"Saya percaya pihak terbabit telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai penggunaan cermin gelap tersebut termasuk dari sudut keselamatan, kesihatan dan jenayah,'' katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai juga perlu dididik mengenai perbezaan filem gelap yang ada di pasaran kerana kadar kegelapan yang tinggi tidak semestinya mengurangkan kepanasan dalam kenderaan. - Bernama