Peraturan baharu cermin gelap

Anthony (kanan) memeriksa kadar ketelusan cahaya pada cermin penumpang hadapan selepas sidang media mengenai pindaan ke atas peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan di Putrajaya hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHMAN
Anthony (kanan) memeriksa kadar ketelusan cahaya pada cermin penumpang hadapan selepas sidang media mengenai pindaan ke atas peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan di Putrajaya hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHMAN
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan mengumumkan peraturan tiada had kadar peratusan bagi penggunaan cermin gelap di bahagian cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan persendirian bermula hari ini.

Menterinya, Anthony Loke bagaimanapun berkata, penggunaan cermin gelap pada bahagian hadapan dan cermin sisi kanan dan kiri pemandu masih kekal iaitu 70 peratus untuk bahagian cermin depan kenderaan dan 50 peratus bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu.

Menurutnya, ia adalah pindaan ke atas peraturan cermin gelap di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 yang turut melibatkan perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

"Pindaan dibuat bertujuan untuk meningkatkan aspek ketelusan dalam pertimbangan ke atas permohonan menggunakan cermin yang lebih gelap, selain menyumbang kepada hasil kerajaan.

"Manakala pengecualian di atas faktor kesihatan pula hendaklah mendapat pengesahan bertulis daripada pakar perubatan kerajaan dan akan dikecualikan daripada sebarang fi," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, beliau menasihatkan mana-mana individu yang ingin memohon untuk menggunakan cermin yang lebih gelap boleh membuat permohonan atas faktor keselamatan dan kesihatan.

"Setiap permohonan yang dikemukakan atas faktor keselamatan akan dikenakan fi perkhidmatan sebanyak RM50 untuk setiap permohonan.

"Permohonan yang diluluskan pula akan dikenakan fi sebanyak RM5,000 dan setiap kelulusan diberikan untuk tempoh dua tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anthony berkata, kelulusan akan diputuskan oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPJ yang mengambil kira saman tertunggak dan latar belakang pemandu.

“Permohonan berdasarkan faktor kesihatan seperti penyakit kulit akan dikecualikan daripada sebarang fi dan mereka perlu mendapat pengesahan bertulis daripada pakar perubatan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pindaan peraturan yang dibuat itu menepati piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali gus akan membolehkan orang ramai menggunakan cermin lebih gelap daripada peraturan semasa, khususnya kepada penumpang.