PRN: Walaupun digantung, Mohd Salim tetap bantu calon berkempen

Mohd Salim
Mohd Salim
A
A
A

JEMPOL - Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berlapang dada untuk bersama membantu calon UMNO yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) meskipun keahliannya digantung selama enam tahun.

Sepanjang pemerhatiannya semasa berkempen, beliau yakin gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mampu membentuk kerajaan di Negeri Sembilan.

Namun ujarnya, PRN akan menjadi kayu ukur setakat mana kerjasama PH-BN di peringkat atasan dapat diterjemahkan kepada akar umbi.

"Kalau tak dapat sampai ke akar umbi, maknanya ada gagal sana sini. Kita tak dapat ‘report card’ lagi. Keputusan undi nanti baru tahu sejauh mana penerimaan rakyat, akar umbi terutama orang kampung.

“Bukan mudah sebab dulu kita label satu parti, sebagai contoh DAP. DAP ini memang orang kampung tak boleh terima tetapi bila bersama, sedikit sebanyak ada positif dan negatifnya.

“Kalau negatifnya banyak, susahlah. Kalau positif banyak, makanya kita menang besar,” katanya ketika ditemui semasa membantu kempen calon BN di sekitar kawasan Jempol baru-baru ini.

Sebelum ini media melaporkan, Mohd Salim merupakan antara empat yang diumumkan penggantungan selama enam tahun sebagai ahli UMNO.

Namun beliau telah menghantar surat rayuan untuk dilepaskan daripada penggantungan pada Januari lalu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sementara itu mengulas mengenai perkara berkenaan, Mohd Salim memaklumkan, setakat ini masih belum menerima keputusan daripada kepimpinan.

"Sempena kempen, saya tetap membantu calon BN terutamanya bagi meraih undi di Parlimen Jempol," ujarnya.