Jawatankuasa ad hoc teliti 3 isu selamatkan PAFA

Abdul Puhat (dua dari kanan) ketika mempengerusikan perbincangan dengan ahli-ahli gabungan PAFA di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Perak pada Selasa.
Abdul Puhat (dua dari kanan) ketika mempengerusikan perbincangan dengan ahli-ahli gabungan PAFA di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Perak pada Selasa.
A
A
A

JAWATANKUASA ad hoc yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut dihadapi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan meneliti tiga isu utama sebelum membuat keputusan lanjut.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, tiga isu berkenaan melibatkan status kelayakan 17 atau empat ahli gabungan PAFA yang layak mengundi ketika kongres dan semakan kehakiman yang dibuat di Mahkamah Rayuan membabitkan persatuan terbabit.

Menurut beliau, perkara itu perlu dilihat secara terperinci dan dirujuk kepada pihak berkaitan sebelum keputusan dapat dibuat.

"Setelah kita mendapatkan pandangan daripada kesemua badan gabungan tadi, terdapat tiga isu yang berbangkit dalam kalangan ahli untuk kita lihat secara terperinci.

"Kita akan rujuk dengan pihak berkaitan bagi memastikan jawatankuasa tidak tersalah membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli gabungan PAFA di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Perak pada Selasa.

Abdul Puhat berkata, segala perkembangan mengenai jawatankuasa ad hoc akan terus dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melalui Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Menurutnya, pihak jawatankuasa akan berusaha menyelesaikan sebarang isu berbangkit bagi memastikan Kongres PAFA dapat diadakan dengan segera.

Sementara itu, beliau berkata, tempoh sehingga dua bulan diberikan kepada semua ahli gabungan PAFA untuk menyerahkan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) kepada PJS sebelum mesyuarat agung dilaksanakan.

Selain Abdul Puhat, jawatankuasa ad hoc turut dianggotai Jawatankuasa Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad; Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Munir Aliyasak; Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia, Normala Abdul Rashid; bekas Naib Presiden II PAFA, Abd Aziz Yeop Jamaluddin dan bekas Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar.

Pendaftaran PAFA sebelum ini telah dibatalkan, namun di bawah Akta 576 Akta Pembangunan Sukan 1997 menteri mempunyai kuasa di bawah Subseksyen 21 (1) menubuhkan jawatankuasa ad hoc untuk selesaikan kemelut PAFA bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Pada 7 Mac 2022 lalu, PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS berikutan kemelut yang melanda badan induk bola sepak itu.

Ini berikutan wujud dua kumpulan yang mendakwa masing-masing sebagai jawatankuasa sah badan induk terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!