Pemeliharaan alam sekitar bukan lagi sekadar CSR - Nik Nazmi

Nik Nazmi (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Pelanggan (Kerajaan dan Perniagaan Besar) Bahagian Retail TNB, Nasaruddin Mohd Zaini (kiri) menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM 5,000 daripada Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin (dua dari kanan) kepada pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Pelancaran Mydin Prihatin #forfuture di Mydin Subang Jaya, pada Selasa. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Aspek pemeliharaan alam sekitar dalam urusan korporat bukan lagi sekadar tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebaliknya perlu menjadi pemboleh daya dalam memperluas perniagaan dan mencipta nilai baharu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penerapan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) adalah antara elemen yang dinilai pelabur global dalam menerokai potensi pelaburan.

"Oleh itu, organisasi perlu berani berubah, mengubah minda dan memanfaatkan teknologi melalui pengamalan ESG agar kekal relevan dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program kelestarian Mydin Prihatin #forfuture di Mydin Subang Jaya dekat sini pada Selasa.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata, dalam isu kelestarian peranan sektor swasta terutama pemain besar seperti Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) adalah penting kerana membawa impak yang besar kepada rantaian pembekal dan keseluruhan ekonomi.

"Di peringkat kerajaan boleh ada dasar dan peraturan mengenai kelestarian namun perlu ada respons daripada pihak swasta seperti yang diambil pihak Mydin,” katanya.

Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin pula berkata, setakat ini, sejumlah 15 premis Mydin sudah dilengkapi panel solar bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Beliau berkata, Mydin juga akan melabur sebanyak RM7 juta bagi perisian dan peralatan pelbagai kemudahan untuk menguruskan tenaga secara efisien.

Katanya, inisiatif ESG Mydin Prihatin, yang dilancarkan hari ini, memfokus kepada usaha menjaga serta menerapkan budaya melestarikan alam sekitar termasuk dengan sistem kepintaran data, pengurusan sisa efektif, kecekapan tenaga, penggunaan tenaga boleh guna, tong pakaian kitar semula dan sistem logistik pintar yang membantu mengurangkan pelepasan karbon. - Bernama