32 pelajar keracunan selepas makan ayam masak lemak cili padi

Hee Sam (dua, kiri) dan Dr Rusdi (dua, kiri ) ketika sidang akhbar pada Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15, di Ayer Keroh di sini pada Selasa.
Hee Sam (dua, kiri) dan Dr Rusdi (dua, kiri ) ketika sidang akhbar pada Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15, di Ayer Keroh di sini pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seramai 32 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Perempuan Melaka mengalami keracunan makanan selepas menikmati lauk ayam masak lemak cili padi yang dimakan pada malam Ahad lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Ngwe Hee Sem berkata, pelajar berkenaan mula mengalami simptom cirit-birit, sakit perut dan muntah pada awal pagi Isnin.

Menurutnya, kesemua mereka kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Peringgit untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

"Mereka mendakwa terdapat perubahan fizikal pada ayam yang dimakan, selain rasanya sedikit pelik.

"Namun kesemua hanya dirawat sebagai pesakit luar sahaja," katanya ketika sidang akhbar pada Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15, di Ayer Keroh, di sini, pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, dapur asrama sekolah tersebut juga telah diberikan notis penutupan selama 14 hari di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah akan siasatan lanjut bagi mengetahui punca wabak keracunan yang berlaku," katanya.

Mengulas lanjut, sebanyak lapan kes wabak keracunan makanan telah dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan tahun ini melibatkan tiga kes masing-masing di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah dan dua di Jasin.

"Lima kes wabak yang dilaporkan membabitkan sekolah dan tiada kematian dilaporkan," katanya.