Sukar untuk Haaland pecah banyak rekod lagi
BEKAS pertahanan Manchester City, Joleon Lescott memberi amaran bahawa Erling Haaland tidak boleh terus diletakkan harapan untuk memecahkan lebih banyak rekod selepas pencapaian luar biasa di Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.
Haaland melakukan penampilan pertama dalam kancah EPL dengan penuh bergaya musim lalu apabila menjaringkan 36 gol dalam 38 perlawanan liga.
Bintang Manchester City itu menjaringkan 16 gol lagi dalam perlawanan Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA untuk menamatkan kempen musim lalu dengan 52 gol.
“Kita tidak boleh mengharapkan dia akan terus memecahkan rekod setiap tahun. Sukar untuk melakukannya.
“Saya fikir jika dia mengekalkan tahap yang dia tetapkan, maka dia akan menjadi pemain ikonik untuk EPL dan untuk Manchester City.
“Pemain pertahanan akan menyesuaikan diri dengan apa yang Haaland telah lakukan. Jika tidak, dia akan terus meledak lebih banyak gol.
“Jadi saya pasti akan ada pendekatan berbeza daripada pertahanan setiap pasukan untuk berdepan Haaland musim ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!