Kempen PRN: JAIS ulangi amaran kepada ahli politik

Kenyataan JAIS pada Isnin. Mohd Shahzihan (kiri).
Kenyataan JAIS pada Isnin. Mohd Shahzihan (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekali lagi memberi amaran kepada ahli politik supaya tidak menggunakan masjid untuk tujuan berkempen menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melarang menggunakan masjid dan surau sebagai medan politik kepartian serta propaganda politik dan larangan telah banyak kali dikeluarkan.

"Ahli politik yang didapati menggunakan masjid dan surau di Selangor dengan tujuan tidak dibenarkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan MAIS dianggap menghina, mengingkari serta melanggar titah Sultan Selangor dan ketetapan MAIS boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menambah pentadbir masjid dan surau di Selangor sentiasa diingatkan untuk mematuhi dan menguatkuasakan larangan yang ditetapkan MAIS untuk menjadikan masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas pengaruh politik kepartian.

Ujarnya, pegawai masjid boleh dibatalkan pelantikan oleh MAIS jika gagal atau sebarang kecuaian mematuhi ketetapan MAIS, berdasarkan Peraturan 7 (f) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

"Semua edaran titah DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan Selangor dan arahan MAIS yang dikeluarkan oleh JAIS berkaitan perkara ini kepada seluruh pentadbir masjid atau surau di negeri Selangor hendaklah dirujuk," tambahnya lagi.