Syazrin anggap rezeki anak bawa pulang tiga emas

Syazrin (kiri) dan Nur Assyira menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara XCO Kejohanan MTB Kebangsaan 2023 di Taman Cabaran, Putrajaya pada Ahad.
Syazrin (kiri) dan Nur Assyira menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara XCO Kejohanan MTB Kebangsaan 2023 di Taman Cabaran, Putrajaya pada Ahad.
A
A
A

PELUMBA Terengganu, Ahmad Syazrin Awang Ilah mencipta sensasi apabila merangkul tiga pingat emas Kejohanan Berbasikal Bukit (MTB) Kebangsaan 2023 di Taman Cabaran, Putrajaya yang berakhir pada Ahad.

Tampil dengan status pelumba kebangsaan, Syazrin berjaya memenangi emas dalam kategori elit lelaki acara cross country olympic (XCO), cross country eliminator (XCE) dan cross country short curcuit (XCC).

Syazrin menutup tirai kejohanan kali ini dengan menyambar kilauan emas XCO bagi mengetepikan dua pencabar terdekatnya - Zulfikri Zulkifli dari Terengganu dan Laurel Lauridsen Adrian (Sarawak).

“Alhamdulillah dengan kejayaan hari ini. Sejujurnya saya sendiri tidak menyangka dapat membawa pulang tiga jersi putih pada Kejohanan MTB Kebangsaan tahun ini.

“Mungkin ini rezeki anak pertama saya yang akan lahir pada November nanti. Saya harap dengan kelahiran anak saya tidak lama lagi, rezeki saya akan terus bertambah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Dalam acara XCC yang berlangsung pada Jumaat lalu, Syazrin membuka langkah kanan dengan meraih emas sulung, manakala Zulfikri dan Laurel masing-masing memenangi perak dan gangsa.

Bagi acara XCE yang diadakan pada Sabtu, pelumba berusia 26 tahun itu mengetuai Terengganu menyapu bersih podium dengan Saniy Syahmi Mohd Shafiee meraih perak dan Zulfikri mengutip gangsa.

Sementara itu, wakil Perak, Nur Assyira Zainal Abidin turut menepati statusnya selaku elit wanita kebangsaan apabila merangkul pingat emas XCO dan XCC.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan SEA 2022 dan 2023 itu gagal menjejakkan kaki di podium dalam acara XCE selepas menduduki tangga keempat.

“Saya memang betul-betul fokus dalam membuat persediaan bagi kejohanan ini. Walaupun kurang saingan tetapi saya tetap tidak mengambil mudah dengan setiap pencabar,” ujarnya.