KPT tak sekat pelajar sertai politik - Khaled

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

KUALA NERUS - Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tidak disekat untuk terlibat secara aktif dalam politik, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi kebebasan penuh kepada kumpulan itu untuk berpolitik secara sihat sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda.

Bagaimanapun katanya, pelajar tidak dibenarkan membawa masuk politik kepartian ke dalam kampus.

"Kita bukan policeman (anggota polis) nak pantau pelajar (berpolitik), memang kita tak ada nak mengongkong, tapi jangan bawa masuk politik kepartian ke dalam kampus.

"Selain kempen, pelajar diberi kebebasan berpolitik, nak bertanding pun boleh tapi itu hari (penamaan calon), tak ada pula yang nak bertanding... tapi kita memang tak ada sekatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, pada Ahad.

Dewan Rakyat pada Mac lalu dimaklumkan, KPT tidak menolak kemungkinan akan mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan penubuhan cawangan parti politik di kampus selari dengan agenda pindaan AUKU.

Mohamed Khaled ketika itu memberitahu, kelonggaran tersebut juga selaras dengan usaha untuk menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan amalan politik matang terutamanya melibatkan golongan muda.