Heberty azam pertingkat prestasi

Heberty Fernandes - Foto Johor Southern Tigers
Heberty Fernandes - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

PEMAIN import baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Heberty Fernandes berazam untuk meningkatkan lagi prestasi dirinya bagi membantu skuad Harimau Selatan melakar lebih banyak kejayaan musim ini.

Menurut pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu, dia sudah agak lama tidak beraksi sejak saingan Liga Thailand melabuhkan tirai Mei lalu dan hanya sempat mengikuti perlawanan pra-musim selama dua minggu bersama Bangkok United sebelum ke JDT.

“Rasanya saya masih perlu pertingkatkan terutama dari segi prestasi (diri), lagipun sudah agak lama saya tidak bermain (beraksi) sejak Liga Thailand berakhir pada Mei.

“Saya hanya sempat mengikut dua aksi pra-musim sebelum datang ke sini (Johor), tapi bagi saya semua itu bukannya masalah, malah saya gembira berada di sini.

“Sukar untuk saya gambarkan mengenai perasaan saya ketika ini tetapi apa yang pasti saya cukup gembira berada di sini dan akan berikan yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan sudah mula ‘memburu’ khidmat Heberty sejak 2018 bagi memperkuatkan lagi pasukan berkenaan.

Ia susulan aksi cemerlang bekas penjaring terbanyak Liga Thailand itu pada musim 2014 dengan merekodkan 26 gol ketika beraksi dengan kelab Ratchaburi Miltr Phol.

Kecemerlangan Heberty kemudiannya berterusan apabila meledak 35 gol dalam 70 penampilan bersama Bangkok United musim lalu dan sekali gus menjadikannya sebagai pilihan tepat bagi memperkuatkan jentera serangan skuad Harimau Selatan.

Sementara itu, Heberty menyifatkan saingan Liga Thailand dan Liga Malaysia (Liga-M) adalah antara yang terbaik di rantau ini.

Katanya, ia berdasarkan kepada aksi final Piala FA minggu lalu antara JDT dan Kuala Lumpur City FC yang mana kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik sepanjang perlawanan.

“Kedua-duanya (Liga Thailand, Liga-M) merupakan saingan liga yang baik. Lihat sahaja pada perlawanan sebelum ini (final Piala FA) di mana pasukan ini (JDT), telah mempamerkan aksi yang mantap.

“Jadi, perlawanan hari ini (Selangor FC) juga merupakan satu lagi aksi yang agak sukar dan boleh dianggap sebagai pertembungan derby.

“Apa pun, saya cukup gembira berada di sini dan membantu kejayaan pasukan,” katanya.