Maritim terbangkan bayi pneumonia baru lahir ke HTAA

Maritim Malaysia berjaya melakukan penerbangan ihsan membawa seorang bayi berumur satu hari dipercayai menghidap pneumonia pada petang Jumaat. - Foto Maritim Malaysia
Maritim Malaysia berjaya melakukan penerbangan ihsan membawa seorang bayi berumur satu hari dipercayai menghidap pneumonia pada petang Jumaat. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya melakukan penerbangan ihsan membawa seorang bayi berumur satu hari dipercayai menghidapi jangkitan kuman pada organ paru-paru (Pneumonia) pada petang Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, pihaknya ditugaskan untuk memindahkan bayi berkenaan dari Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi mendapatkan rawatan segera.

Menurutnya, tugasan itu dilakukan selepas Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima panggilan kecemasan dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya pada jam 3.30 petang.

“Penerbangan ihsan menerusi Mercy Flight ini menggunakan helikopter jenis Agusta AW 139 milik Maritim Malaysia.

“Penerbangan dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada jam 3.40 petang Jumaat dan tiba di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman pada jam 5.03 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pemindahan tersebut turut diiringi staf klinik kesihatan dan ibu bapa bayi berkenaan.

"Pesawat tersebut mendarat di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada jam 6.39 petang dan dipindahkan ke ambulans untuk dibawa ke HTAA bagi mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.