PKBM sahkan hutang lima pasukan selesai

Abu Samah (Gambar kecil: Laporan Sukan Sinar pada Jumaat.)
Abu Samah (Gambar kecil: Laporan Sukan Sinar pada Jumaat.)
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan hutang tertunggak kepada lima pasukan yang bersaing pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 sudah dilunaskan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, hutang yang mencecah lebih RM1 juta itu telah diselesaikan Human Voyage (M) Sdn Bhd selaku penganjur perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia itu tahun lalu.

“Alhamdulillah saya telah diberitahu hutang kepada lima pasukan yang terlibat telah dilunaskan. Ini satu perkara yang sememangnya kita tunggu-tunggu sejak beberapa bulan lalu.

“Sudah tentu perkhabaran itu memberi petanda baik kepada status penganjuran kejohanan yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan ramai pihak terutamanya pemegang taruh LTdL.

“Saya akan mengutuskan surat kepada pihak UCI (Kesatuan Berbasikal Dunia) malam ini (Jumaat) untuk memaklumkan hutang tertunggak lima pasukan itu sudah diselesaikan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sukan Sinar sebelum ini melaporkan status penganjuran LTdL 2023 mencetuskan tanda tanya apabila hasil semakan di laman sesawang UCI, https://www.uci.org/ setakat Khamis, didapati kejohanan berstatus ProSeries itu tiada lagi dalam kalendar UCI.

Situasi itu pastinya mengejutkan memandangkan Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur LTdL 2023 sudah membuat persiapan bagi menganjurkan kejohanan edisi ke-23 itu yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 30 September depan.

Pada Majlis Pelancaran LTdL 2023 di Putrajaya 4 Julai lalu, Abu Samah mendedahkan menerima surat daripada UCI berhubung tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan.

Pelumba Alpecin–Deceuninck, Jakub Mareczko meraikan kejayaannya menjuarai Peringkat 4 LTdL 2022.
Pelumba Alpecin–Deceuninck, Jakub Mareczko meraikan kejayaannya menjuarai Peringkat 4 LTdL 2022.

Malah, Abu Samah turut meluahkan kebimbangannya penganjuran LTdL 2024 berdepan kemungkinan dibatalkan gara-gara masalah tunggakan hutang tersebut.

Difahamkan, lima pasukan yang sebelum ini menuntut hutang masing-masing ialah Movistar Team, Cofidis Solutions Credits, Lotto Soudal, Alpecin–Deceuninck dan EF Education–EasyPost.

Mengulas lanjut, Abu Samah tidak menolak kemungkinan UCI akan mempertimbang semula untuk menyenaraikan LTdL 2023 dalam kalendar badan dunia itu sejurus menerima perkhabaran terbaharu mengenai isu hutang tersebut.

“Sebelum ini, UCI tidak memberikan sebarang tarikh akhir bagi melunaskan hutang itu. Apabila hutang itu dilunaskan kepada kelima-lima pasukan terlibat, mungkin barulah kita dapat tahu tentang status LTdL.

“Apapun saya percaya LTdL 2023 akan tetap berlangsung mengikut jadual. Harap (Naib Presiden PKBM) Datuk Amarjit (Singh Gill) yang juga Ahli Jawatankuasa UCI dapat membawa khabar gembira apabila beliau menghadiri mesyuarat UCI di Glasgow nanti,” jelasnya.

Bertemakan Beat The Heat, LTdL 2023 akan merentasi 11 negeri melibatkan jarak keseluruhan 1,280 kilometer (km) dengan lapan peringkat bermula di Kerteh, Terengganu sebelum kemuncaknya berakhir di Kuala Lumpur.