JAIS sahkan premis jual ayam tebuk tiada sijil halal

Mohd Shahzihan
Mohd Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan ayam tebuk yang dijual di sebuah pasar raya di Bukit Changgang, Banting tidak mempunyai sijil halal yang sah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya melalui Seksyen Penguatkuasaan Halal JAIS bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah melakukan pemeriksaan di premis itu pada Khamis.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan dijalankan mendapati premis tersebut bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sah.

"Premis juga didapati melakukan penyalahgunaan logo halal Malaysia kerana mempamerkan logo tanpa memiliki SPHM yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Shahzihan berkata, siasatan dan tindakan lanjut dibuat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan ialah denda tidak melebihi RM200,000.

Beliau memberitahu, pada masa ini, terdapat sembilan skim pensijilan halal yang ditawarkan oleh JAKIM iaitu skim produk makanan dan minuman, premis makanan dan kosmetik.

Selain itu, katanya, skim pensijilan halal meliputi farmaseutikal, barang gunaan, logistik, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan peranti perubatan.

Sehubungan itu, katanya, permohonan SPHM boleh dibuat melalui laman sesawang www.halal.gov.my

Kata beliau, orang awam dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa membeli barang keperluan harian dengan mengutamakan produk yang mendapat pensijilan halal.

Mohd Shahzihan memberitahu, sebarang keraguan mengenai status atau logo halal pada produk atau premis, bolehlah membuat semakan terus melalui portal halal JAKIM di laman sesawang www.halal.gov.my.

Sebarang penyelewengan status halal dan penyalahgunaan logo itu, aduan juga boleh dibuat kepada Seksyen Penguatkuasaan Halal JAIS di talian 03-5514 3726/3760 atau talian hotline 011-5582 0212.

Sebelum ini tular penjualan ayam tebuk di sebuah pasar raya yang tidak mempunyai sijil halal di sebuah pasar raya di Bukit Changgang, Banting.