Misi kebangkitan Sabah bermula di Stadium Bandaraya

Kim Swee
Kim Swee
A
A
A

SABAH FC menetapkan sasaran membawa pulang mata penting apabila bertandang menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Ahad ini.

Biarpun begitu pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee, mengakui bukan tugas mudah kerana skuad Manzoor Azwira memiliki kekuatan tersendiri selain dibarisi para pemain import dan tempatan berkualiti tinggi.

Namun tegasnya, The Rhinos perlu kekal fokus sepanjang perlawanan di laman keramat The Black Panthers bagi memastikan misi tiga direalisasikan dalam perlawanan tersebut.

“Kita harus bangkit dengan mencapai keputusan positif daripada badi kekalahan ketika berdepan Selangor minggu lalu.

“Malah Sabah perlu kembali berada dalam landasan terbaik bermula dengan aksi berdepan Penang jika ingin mengekalkan rentak untuk merebut slot kelompok tiga teratas Liga Super.

“Hanya berbaki beberapa perlawanan lagi sebelum berakhirnya musim Liga Super 2023,” katanya pada Jumaat.

Mengenai kecederaan beberapa pemain utama, Kim Swee berkata, beberapa pemain mengalami kecederaan selepas perlawanan menentang Selangor.

“Kita tidak perlu risau kerana masih terdapat para pemain lain yang mampu menggalas tugas serta mengisi slot mereka yang mengalami kecederaan dan juga penggantungan,” katanya.

Sebagai rekod, Sabah menewaskan Penang 5-2 dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 17 Mac lalu.

LIGA SUPER

JADUAL

JUMAAT (28 JULAI)

Terengganu FC lwn Negeri Sembilan FC

(Stdm Sultan Mizan Zainal Abidin, 9 malam)

Kelantan United lwn PDRM FC

(Stdm Sultan Muhammad IV, 9 malam)

SABTU (29 JULAI)

Kuala Lumpur City lwn Kelantan FC

(Stdm Bola Sepak Kuala Lumpur, 9 malam)

Kuching City lwn Kedah Darul Aman

(Stdm Negeri, 8.15 malam)

JDT lwn Selangor FC

(Stdm Sultan Ibrahim, 9 mlm)

AHAD (30 JULAI)

Sri Pahang lwn Perak FC

(Stdm Darul Makmur, 5.30 ptg)

Penang FC lwn Sabah FC

(Stdm Bandaraya, 9 mlm)

* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan MFL