Cermin kereta peniaga dipecah penjenayah

Gambar yang dipetik daripada video tular menunjukkan suspek bertindak keluar dari kenderaan.
Gambar yang dipetik daripada video tular menunjukkan suspek bertindak keluar dari kenderaan.
A
A
A

JEMPOL - Cermin kereta jenis Toyota Vios milik seorang peniaga di Batu Kikir di sini dipecah penjenayah dalam satu kejadian di Jalan Beringin, Batu Kikir awal pagi semalam.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, pemilik kereta berusia 64 tahun menyedari kejadian itu selepas mendengar bunyi bising di hadapan rumah kedainya lebih kurang jam 7.15 pagi.

"Dia mendengar bunyi bising di hadapan kedai seterusnya ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali telah memecah cermin keretanya.

"Disebabkan itu mangsa menjerit sambil mengejar lelaki tersebut sebelum suspek melarikan diri," katanya ketika mengesahkan laporan hari ini.

Muhd Nurhishamuddin berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek dipercayai palsu.

"Suspek menggunakan kereta jenis Proton Wira yang diubahsuai 'body kit' bonet hadapan warna hitam dan bahagian belakang berwarna kuning.

"Kenderaan mangsa juga dipercayai tidak menyimpan barangan berharga, bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan di bawah Seksyen 427KK (Khianat) pecah cermin," katanya.

Muhd Nurhishamuddin turut mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Batu Kikir.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 23 saat memaparkan mangsa cuba mempertahankan kenderaannya bagaimana pun suspek dilihat keluar kenderaan dan mara ke arah mangsa sebelum masuk semula ke dalam kereta dan berlalu.