PRN: Pas tampil calon ulama, profesional di Terengganu

Barisan calon yang akan bertanding pada PRN dan PRK di Terengganu pada 12 Ogos ini diumumkan sempena Majlis Pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di Marang pada malam Khamis.
Barisan calon yang akan bertanding pada PRN dan PRK di Terengganu pada 12 Ogos ini diumumkan sempena Majlis Pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di Marang pada malam Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas menampilkan 33 calon berkelayakan terdiri dalam kalangan ulama, profesional dan usahawan untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, kesemua calon yang diketengahkan itu mempunyai kewibawaan yang diyakini mampu membawa kemenangan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Kita menampilkan seramai 16 calon atau 50 peratus calon ulama atau memiliki kelulusan agama, 13 calon golongan profesional dan usahawan (39.5 peratus) dan tiga lagi calon dengan lain-lain latar belakang.

"Kombinasi pelbagai latar belakang calon ini diyakini mampu menterjemahkan dasar dan hala tuju Pas untuk memimpin dan mengendalikan kerajaan (Terengganu) lima tahun yang akan datang," katanya ketika berucap sempena Majlis Pengisytiharan calon PN di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini malam Khamis.

Hadir sama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khiruddin; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris; Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Saifuddin Abdullah serta pimpinan gabungan PN.

Menurut Husain, kesemua calon bertanding akan menggunakan lambang Pas terdiri daripada 32 calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seorang calon bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau berkata, Pas akan bertanding di 27 kerusi DUN manakala lima kerusi lagi akan ditandingi calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Hulu Besut (Mohd Husaimi Hussin), Telemung (Mohd Zawawi Ismail), Permaisuri (Mohd Yusop Majid), Seberang Takir (Khazan Che Mat) dan Kijal (Datuk Razali Idris).

Sementara itu, Pas membuat kelainan dengan turut menampilkan calon wanita pada PRN kali ini dengan mengisytiharkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita yang dilantik, Zuraida Md Noor sebagai calon wanita tunggal di DUN Ladang yang sebelum ini diwakili Tengku Hassan.

Selain itu, Pas turut menampilkan calon baharu yang pertama kali bertanding iaitu di kerusi Hulu Besut (Husaimi), Bukit Tunggal (Zaharudin Zaid), Ladang (Zuraida), Sura (Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi), Air Putih (Mohd Hafiz Adam) dan Rantau Abang (Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli).

Sementara itu, lima penyandang kerusi DUN sebelum ini telah sepakat untuk tidak bertanding iaitu Datuk Alias Razak (Bukit Tunggal), Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang), Ab Razak Ibrahim (Air Putih), Alias Harun (Rantau Abang) dan Wan Hapandi Wan Nik (Sura).