Tun Dr Ismail figura perpaduan negara

Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman
Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tokoh negarawan, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman disifatkan sebagai figura perpaduan negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Beliau berkata, Allahyarham merupakan antara sosok penting yang menggariskan lima prinsip Rukun Negara ketika Malaysia berhadapan dengan peristiwa hitam, 13 Mei, 1969.

"Tun Dr Ismail ini adalah bekas Timbalan Perdana Menteri semasa pemerintahan Tun Abdul Razak Hussein daripada tahun 1971 hingga 1973. Ketika itu, kita telah melalui satu peristiwa berdarah, peristiwa hitam tentang perpaduan, timbul perbalahan kaum pada 1969, iaitu 13 Mei dan waktu itu negara kita diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

"Tun Dr Ismail adalah Timbalan Pengerusi MAGERAN dan Pengerusinya adalah Tun Abdul Razak. Pada masa tersebut mereka diberi tanggungjawab untuk mengembalikan keamanan, meredakan ketegangan kaum. Kalau kita tengok sekarang, tercetusnya idea untuk mewujudkan Rukun Negara yang kita baca itu, di sinilah bermulanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini pada Jumaat.

Mohamad Fauzi berkata, Dr Ismail juga merupakan seorang yang amat mempercayai bahawa Malaysia meskipun mempunyai pelbagai perbezaan dari segi agama, bangsa dan budaya, namun boleh hidup dalam suasana yang harmoni dan bersatu-padu.

Menyentuh mengenai program bagi memperingati jasa Dr Ismail yang diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, beliau berkata objektif program itu adalah untuk menaikkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat selain menghargai jasa dan sumbangan pemimpin negara terhadap kemerdekaan negara.

Beliau berkata, program yang menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung dan akan diadakan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos dan bermula pada jam 9 pagi hingga 4 petang itu, mendapat kerjasama strategik daripada 10 agensi dan kementerian bagi menjayakannya.

Program itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain agensi di bawah KKD, program itu mendapat kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Wilayah Persekutuan, Arkib Negara dan Perbadanan Putrajaya.

Mengenai pengisian program berkenaan, Mohamad Fauzi berkata, terdapat tiga segmen utama akan disediakan iaitu wall of memories yang akan mempamerkan gambar, teks ucapan, busana dan koleksi peribadi Dr Ismail serta persembahan tradisional melibatkan antaranya rebab, ghazal dan silat.

"Saya juga dimaklumkan pada masa tersebut kita akan tayangkan wayang kulit dalam bentuk baharu dinamakan animatronik (animatronics). Ini gabungan antara wayang kulit dan teknologi digital yang agak menarik bagi saya.

"Selain itu, ada juga dokumentari khas selama enam hingga tujuh minit yang disediakan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) yang memaparkan tentang perjuangan Allahyarham sejak tahun 1948 sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 2 Ogos, 1973. Kemasukan adalah percuma dan orang ramai dijemput hadir,” katanya.

Program itu antara lain turut menyajikan deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said selain jualan Rahmah dan pameran oleh agensi kerajaan. - Bernama