Ekonomi Madani harapan rakyat tingkat kualiti hidup

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

EKONOMI Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas memberi manfaat dan memperkasakan taraf hidup rakyat apabila menggariskan dua fokus utama iaitu menstruktur semula ekonomi Malaysia serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Inisiatif itu merupakan usaha menyeluruh bagi membantu masyarakat di pelbagai peringkat apatah lagi negara sedang mengharungi situasi ekonomi tidak menentu.

Ramai rakyat terbeban dengan peningkatan harga barang dan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat.

Antara usaha yang diketengahkan oleh beliau adalah tambah peruntukan, mudahkan tatacara perolehan serta turunkan kuasa pelaksanaan bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek sekolah dan klinik daif.

Kerajaan juga akan mengukuhkan konsep Payung Rahmah, memberi tumpuan kepada usaha untuk menambah baik Tahap Sara Diri (SSL) termasuk menambah keluasan tanaman tetapi mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada.

Inisiatif lain yang turut diberi perhatian adalah bersedia membuka peluang kepada miskin tegar untuk meningkatkan pendapatan mereka, tidak hanya semata-mata menerima bantuan tunai langsung.

Sehubungan itu, Anwar menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun.

Beliau berkata, antaranya Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia dan Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia.

"Ketiga, peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah 40 peratus menjelang 2025.

"Keempat, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus. Kelima, Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia.

"Keenam, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan ketujuh, kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah," ujarnya.

Sementara itu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikat itu menyokong visi berkenaan dan berhasrat untuk turut sama merealisasikannya, seiring dengan strategi Memajukan Malaysia yang diusahakan oleh mereka.

Menurutnya, strategi tersebut juga menumpukan terhadap peningkatan kualiti hidup rakyat, transformasi ekonomi serta peningkatan daya saing negara.

“Kami juga telah mengambil langkah penting dalam memacu daya saing ekonomi dan daya tahan negara dengan memperuntukkan RM6 bilion bagi tempoh lima tahun Inisiatif Dana Impak yang melancarkan pelbagai program.

“Program yang dinyatakan ialah Future Malaysia Programme (FMP) bermatlamat untuk menyokong ekosistem pemula tempatan dan Future Malaysia Skills (FMS) tertumpu kepada pembangunan aliran bakat yang mampan melalui pelaburan terhadap peningkatan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja dalam negara,” jelasnya.