Mohd Khafiz berjaya tawan K2

Mohd Khafiz berjaya menawan puncak Gunung K2 pada jam 11.52 pagi Khamis (2.52 petang tadi waktu Malaysia).
Mohd Khafiz berjaya menawan puncak Gunung K2 pada jam 11.52 pagi Khamis (2.52 petang tadi waktu Malaysia).
A
A
A

SHAH ALAM - Jalur Gemilang sekali lagi berkibar di puncak Gunung K2 apabila Mohd Khafiz Bachok, 45, berjaya menawan gunung paling mencabar dunia itu pada jam 11.52 pagi Khamis (2.52 petang tadi waktu Malaysia).

K2 adalah gunung yang terletak di Banjaran Karakoram di Pakistan mempunyai ketinggian 8,611 meter (m) dari aras laut dan direkodkan sebagai gunung kedua tertinggi dunia selepas Gunung Everest yang berkongsi sempadan antara Nepal dan China.

Menurut kenyataan ZEROTO8000, Mohd Khafiz memulakan pendakian dari Skardu selama lapan hari ke kem induk gunung berkenaan.

Katanya, keadaan cuaca yang tidak begitu baik menyebabkan dia hanya dapat memulakan proses rotasi bagi tujuan penyesuaian diri di altitut tinggi pada 12 Julai lalu.

"Pendakian sebenar dari kem induk ke kem 1 yang berketinggian 6,065m bermula pada 22 Julai. Dia tiba ke Kem 3 gunung berkenaan pada 25 Julai dan meneruskan pendakian ke puncak K2 pada 26 Julai jam 5.40 petang waktu tempatan.

"Ekspedisi mendaki Gunung K2 ini memakan kos hampir RM500,000 dan merupakan sebahagian daripada misi ZEROTO8000 yang ditubuhkan oleh Mohd Khafiz sendiri. Ia bertujuan memupuk semangat berdikari di kalangan rakyat Malaysia dalam mencapai impian mereka," ujarnya pada Khamis.

Tambah kenyataan tersebut, ZEROTO8000 membawa maksud perjalanan Mohd Khafiz yang bermula dari Tanjung Piai, Johor pada ketinggian sifar meter dari aras laut menuju ke Gunung K2 sehingga berjaya menawan puncak gunung berkenaan yang mempunyai ketinggian melebihi 8,000 meter.

"Pada tahun lepas, sebagai sebahagian daripada persiapan untuk mendaki Gunung K2, Mohd Khafiz bersama seorang lagi pendaki ZEROTO8000 iaitu RJ Nagarajan menjadi pasukan pendaki Malaysia pertama yang menjejakkan kaki ke puncak sebenar Gunung Manaslu yang berketinggian 8,163m dari aras laut, iaitu gunung ke lapan tertinggi di dunia.

"Dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi pendaki negara bertaraf dunia, Mohd Khafiz telah mempersiapkan diri dengan ilmu pendakian gunung alpin," jelasnya.