Jokowi lawat beberapa lokasi baharu ibu negara di Kalimantan

Jokowi (tengah) bersama rombongan pengiring beliau ketika mengadakan lawatan ke beberapa wilayah di Kalimantan.
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi semalam melakukan lawatan ke beberapa wilayah di Kalimantan.

"Kunjungan itu adalah sebahagian daripada usaha serius kerajaan untuk memindahkan ibu negara," kata Timbalan Protokol, Akhbar dan Media Sekretariat Presiden, Bey Machmudin.

Bey menjelaskan Jokowi tiba di bandar Balikpapan, wilayah Kalimantan Timur pada jam 11.55 pagi (waktu tempatan) dan terus menuju ke lokasi alternatif ibu negara baharu tersebut.

Dari Balikpapan, presiden bersama rombongan pengiringnya meneruskan perjalanan ke Kalimantan Tengah.

"Jokowi merancang untuk bermalam di bandar Palangkaraya sebelum meneruskan lawatan termasuk memeriksa lokasi lain untuk pemindahan ibu negara," jelasnya lagi.

Ketika berbuka puasa bersama wakil institusi negara di Istana Presiden pada Isnin lalu, Jokowi sekali lagi menyatakan rancangan kerajaan untuk memindahkan ibu negara.

"Kami serius dengan perkara ini kerana ia telah dibincangkan sejak tiga tahun lalu dalam mesyuarat dalaman. Kira-kira 18 bulan lalu, kami ada meminta Agensi Perancangan Pembangunan Nasional (Bappenas) untuk melakukan kajian lebih menyeluruh dari segi ekonomi, sosio-politik dan alam sekitar," ujarnya.

Rombongan yang mengiringi Jokwi termasuk Setiausaha Kabinet, Pramono Agung, Menteri Perumahan dan Kerja Awam, Basuki Hadimuljono dan Pengerusi Bappenas, Bambang Brodjonegoro. - Tempo.co


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia