Anak istimewa teruja berpuasa

Adham (tiga dari kanan) ketika hadir program Semarak Kasih Ramadhan bagi Menyantuni Anak-anak Istimewa Johor@Anak-anak Syurga di Balai Raya SS7 Taman Sri Saujana kelmarin.
Adham (tiga dari kanan) ketika hadir program Semarak Kasih Ramadhan bagi Menyantuni Anak-anak Istimewa Johor@Anak-anak Syurga di Balai Raya SS7 Taman Sri Saujana kelmarin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Meskipun kekurangan fizikal dan mental, namun ia bukan penghalang anak-anak istimewa turut teruja merasai keseronokan menunaikan ibadat puasa.

Pengerusi Kelab Permata Syurga Johor Darul Takzim, Partivi Masiran berkata, anak-anak syurga yang memahami ibadat berkenaan bagaimanapun hanya mampu menunaikannya mengikut kemampuan masing-masing.

Menurutnya, mereka seronok mengikut jejak ibu bapa dan adik-beradik berpuasa dan ia bukan secara paksaan.

“Ada yang berpuasa setengah hari manakala ada pula yang mampu berpuasa penuh.

"Kebanyakan mereka terdiri daripada anak syurga yang boleh bergerak aktif seperti kanak-kanak normal termasuk sindrom down dan mereka memiliki jiwa yang hebat iaitu sentiasa ingin membuat yang terbaik walaupun sakit.

“Ia sepatutnya dijadikan sebagai teladan oleh umat Islam lain,” katanya selepas hadir majlis penyerahan sumbangan sempena program Semarak Kasih Ramadhan bagi Menyantuni Anak-anak Istimewa Johor@Anak-anak Syurga di Balai Raya SS7, Taman Sri Saujana, kelmarin.

Terdahulu, program berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba. Hadir sama, ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail.

Dalam pada itu Adham mengucapkan tahniah kepada Kelab Permata Syurga Johor Darul Takzim yang menganjurkan program penyampaian sumbangan barangan dapur kepada 45 ibu yang memiliki anak syurga.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap Kelab Permata Syurga Johor Darul Takzim menerima pengiktirafan sesuai supaya mampu meneruskan aktiviti amal khas bagi anak orang kurang upaya (OKU),” katanya.