Mbappe tak minat tawaran RM1.5 bilion

Mbappe
Mbappe
A
A
A

PENYERANG Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe enggan bertemu pegawai dari Al Hilal untuk membincangkan potensi perpindahan rekod dunia €300 juta (RM1.5 bilion).

Menurut laporan media sukan, L'Equipe, bintang Perancis itu menolak sebarang perbincangan dengan wakil kelab Al-Hilal yang hadir ke Paris pada Rabu.

Laporan itu berkata, delegasi dari kelab Saudi datang ke Paris untuk memuktamadkan perpindahan Malcom dari Zenit Saint Petersburg.

Mereka juga mahu membentangkan projek mereka kepada Mbappe semasa berada di ibu negara Perancis.

“Pendekatan ini tidak akan berjaya kerana pemain berusia 24 tahun itu menolak sebarang perbincangan dengan wakil kelab Saudi.

“Kapten Les Bleus itu tidak pernah mempertimbangkan pilihan ini,” tambah laporan itu.

Mbappe mempunyai baki satu tahun dalam kontraknya dengan PSG, yang mahu dia meninggalkan kelab itu sekarang berbanding tidak mendapat apa-apa pada musim panas seterusnya.

Tetapi dia enggan menandatangani kontrak baharu dan juara Perancis itu percaya Mbappe sudah mencapai perjanjian untuk berhijrah ke Real Madrid tahun depan.

Difahamkan, Real mahu mendapatkan Mbappe secara percuma tahun depan dengan menawarkannya perjanjian lumayan kerana mereka tidak mahu membayar apa-apa kepada PSG dalam usaha mendapatkan khidmatnya.

Perselisihan antara Mbappe dan kelab Perancis itu mencapai kemuncak baharu hujung minggu lalu apabila mereka menggugurkannya daripada skuad yang berkunjung ke Jepun dan Korea Selatan.