Qatar peruntukkan RM2 bilion untuk bantu Palestin

Dana tersebut bertujuan menyokong perkhidmatan kesihatan dan pendidikan serta bantuan kemanusiaan segera untuk penduduk Palestin.
Dana tersebut bertujuan menyokong perkhidmatan kesihatan dan pendidikan serta bantuan kemanusiaan segera untuk penduduk Palestin.
A
A
A

DOHA - QATAR. Qatar semalam mengumumkan ia memperuntukkan dana berjumlah AS$480 juta (RM2 bilion) untuk Pihak Berkuasa Palestin (PA) bagi menyokong perkhidmatan kesihatan dan pendidikan serta menyediakan bantuan kemanusiaan segera.

Bantuan tersebut juga disalurkan kepada sektor bekalan kuasa elektrik untuk memastikan ia tidak terjejas.

Susulan pengumuman itu, pemimpin Fatah dan Hamas telah menyambut baik langkah tersebut.

Agensi berita Wafa melaporkan Abbas mengucapkan jutaan terima kasih kepada Doha atas bantuan kewangan yang diharap dapat mengurangkan beban ditanggung penduduk Palestin.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu kenyataan pula berkata, bantuan itu adalah tanda sokongan tidak berbelah bahagi Qatar kepada penduduk Palestin.

PA yang dipimpin Presiden Mahmoud Abbas telah berdepan pemotongan dua sumber utama pendapatannya.

Amerika Syarikat (AS) telah menghentikan kesemua bantuan dua hala selepas ia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai 'ibu negara' Israel pada 2017.

Februari lalu, Israel bertindak memotong kira-kira AS$10 juta (RM41 juta) sebulan hasil duti kastam yang dikutip bagi pihak Palestin bersamaan jumlah yang didakwa dibayar kepada keluarga banduan atau tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel. - AFP

Artikel Berkaitan: